Bismillahirahmanirahim,
Assalamualaikum
warahmatullahiwabarokatuh dan salam sejahtera kepada semua.Puji dan
syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan
kurniaNya saya diberi peluang menerajui Yayasan ini serta selawat
dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah SAW , keluarga serta
sahabat baginda yang menjadi sumber inspirasi saya dalam menjaga dan
mendidik anak-anak yatim ini.
Saya berasal dari Kubang Kerian
Kota Bharu Kelantan dalam keluarga yang besar dan mempunyai adik
beradik yang ramai, di mana ayah dan ibu sentiasa memberi kami cukup
kasih sayang dan didikan yang sempurna samada akademik mahupun
agama. Tambahan pula, Kelantan memang dikenali sebagai sebuah negeri
yang memberi keutamaan dari segi pendidikan agama.
Oleh kerana itu juga menguatkan
azam saya untuk menjadi seorang yang berjaya dalam hidup samada di
dunia lebih-lebih lagi akhirat. Alhamdulillah berkat ketekunan dan
kesungguhan serta izin Allah SWT, saya berjaya dalam pelajaran serta
kerjaya yang saya ceburi.
Saya menjalankan perniagaan
sendiri. Tetapi hati saya masih terasa ada kekurangan dan dari itu
timbullah ilham untuk menubuhkan rumah anak-anak yatim. Dengan
sokongan dan pertolongan beberapa orang rakan, saya menubuhkan
Markaz ini dengan tujuan membela anak-anak yatim. Saya mahu
anak-anak yatim ini dididik sepertimana ibubapa mendidik anak-anak
mereka di rumah iaitu bukan saja memberi perlindungan (tempat
tinggal) dan makan pakai sahaja tetapi didikan agama dan akhlak juga
diutamakan. Di samping itu pelajaran akademik juga sangat
dititikberatkan supaya mereka boleh berjaya dan berkerjaya kelak.
Sebab itu saya sanggup cari kewangan untuk mereka mendapat pelajaran
yang lebih baik dengan mengupah guru-guru tuisyen bagi mengajar
mereka. Begitu juga saya tidak malu meminta sumbangan orang ramai
bagi melengkapkan kemudahan-kemudahan di Asrama ini bagi keselesaan
anak-anak kami ini.
Alhamdulillah sekarang ini
masyarakat kita telahpun sedar dengan perlunya kemudahan yang selesa
untuk anak-anak yatim samada bilik asrama, dewan makan, bilik rehat,
bilik prep dan sebagainya untuk suasana mereka belajar dan membesar
dengan baik dan sempurna. Saya juga sangat teliti tentang kebersihan
kawasan dan juga kekemasan anak-anak itu sendiri. Oleh itu anak-anak
kami diterapkan dengan disiplin diri dan juga cara berinteraksi
dengan orang ramai. Harapan saya supaya anak-anak yatim kami bukan
sahaja boleh berdikari tetapi juga berjaya dengan cemerlang dalam
apa jua bidang yang mereka ceburi.
Akhirnya sebagai sebuah badan
persendirian dan kami tidak mendapat pembiayaan tetap dari mana-mana
pihak, merayu dan memohon sumbangan ikhlas tuan, puan untuk saya
teruskan jihad saya demi kepentingan anak-anak yatim yang kurang
bernasib baik ini.