Anak-anak yatim adalah
merupakan golongan manusia dan generasi yang amat memerlukan bantuan
dan belaian kasih sayang serta perhatian daripada semua lapisan
masyarakat, khususnya mereka yang diberikan oleh Allah kesenangan
dan kelapangan masa serta tenaga bagi tujuan mendidik dan mengasuh.
Ini adalah kerana anak-anak ini bukan sahaja kehilangan orang yang
mereka sayangi tetapi juga tidak mendapat kasih sayang dan
kemudahan-kemudahan yang perlu ada bagi kanak-kanak seusia mereka.
Mereka perlu dibantu dari segi persekolahan dan pembelajaran,
makan-minum, pengurusan dan sebagainya.
Ini adalah tanggungjawab kita semua. Semoga Allah SWT akan membalas
segala jasa dan amal kebaikan yang kita lakukan ini dan diberi
ganjaran serta dijauhkan kita dari azab api neraka. Firman Allah SWT
di dalam surah As-Saff ayat 10-11 bermaksud:-
“Wahai orang yang beriman mahukah kamu aku tunjukkan suatu
perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih iaitu
kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad dijalan Allah
dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika
kamu mengetahui”
Islam meletakkan kedudukan yang amat tinggi kepada anak yatim. Orang
yang menjaga dan membantunya akan diberikan rahmat oleh Allah SWT.
Oleh itu, masyarakat bertanggungjawab memberikan perhatian yang
sewajarnya dengan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya
kepada mereka. Nabi SAW telah bersabda di dalam sebuah hadis yang
diriwayatkan Ibnu Maajah yang bermaksud:-
“Sebaik-baik rumah ialah rumah orang Islam yang ada di dalamnya anak
yatim yang diasuh dengan baik dan sebaliknya seburuk-buruk rumah
adalah rumah orang-orang Islam yang ada anak yatim tetapi tidak
dijaga dengan baik”